KUALA LUMPUR Nama Ibu Yati kembali hangat viral di media sosial sejak penghujung Januari lalu apabila memuat naik
kenyataan menggusarkan yang terkait dengan pertikaian agama.
Lebih memburukkan kenyataannya menunjukkan bahawa sama ada sisi asas atau usul agama yang longgar atau kemungkinan berlakunya pengaruh fikrah atau doktrin dalam pemikirannya.
Dengan kegusaran yang berlaku, maka menjadi keperluan untuk menemui dan mendengar sendiri daripada pemilik akaun Facebook Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias agar tidak timbul salah faham atas semua dakwaan serta setiap perkataan yang mungkin boleh difahimi dengan makna yang lain.
Saya menjangkakan individu atau bekas wartawan begitu berpengalaman yang pernah membongkar kes berprofil tinggi termasuk ajaran sesat hinggalah menerjah kepada komplot rasuah yang melibatkan barisan pegawai kerajaan, tentulah hujahan menjustifikasikan setiap dakwaan dan kenyataan menggusarkan itu mempunyai asas yang konkrit ataupun ada maksud lain disebalik apa yang dinyatakan.
Bagaimanapun, perbualan dan pertanyaan hanya menemukan dakwaan demi dakwaan yang semakin sukar difahami, sukar untuk mempercayai individu dia adalah individu sama yang memiliki pengiktirafan atas karya yang pernah dihormati dalam dunia kewartawanan tanah air.
Ibu Yati beri keterangan di JAIS, Shah Alam
Pada awal persoalan Ibu Yati lebih banyak menekankan perbezaan antara Islam Arab dan Islam al-Quran selain menafikan dakwaan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan yang mendakwa dia membawa ajaran baharu iaitu “Agama Melayu”.
Islam Arab yang dijelaskan banyak merujuk kepada kelompok kumpulan pengganas memandangkan dia mendakwa pernah direkrut sebagai pengebom berani mati oleh kumpulan Jemaah Islamiah ketika belajar di sebuah universiti awam.
“Dalam dua pengalaman saya ini (pengalaman ketika terbabit dengan JI) saya membuat kajian, ini pengalaman saya sendiri. Itulah perbezaanya, ada dua (versi Islam) satu yang ikut Arab, itu yang membuatkan mereka terpesong boleh jadi direkrut sebagai militan dan diaorang boleh ikut apa-apalah.
“Tengok pengalaman Al-Maunah itu contoh Islam Arab, Memali, itu contoh Islam Arab, JI itu contoh Islam Arab, ISIS itu contoh Islam Arab, Daesh itu contoh Islam Arab. Islam Quran tak macam tu”, katanya menerusi temubual eksklusif dengan Astro AWANI.
Saya cuba menyelidiki pembabitan dia dalam Jemaah Islamiah dan sememangnya ada artikel dan keratan laporan akhbar termasuk yang dihantar oleh Ibu Yati sendiri tentang pembongkaran olehnya dan disokong oleh kerajaan ketika itu.
Namun tidak dapat dipastikan apakah benar pemecatanya dari IPT itu pada 2001 disebabkan usaha pembongkarannya itu atau atas sebab lain.
Pertemuan malam itu juga dihadiri satu lagi sosok lelaki yang agak berusia dan lebih banyak bercakap serta mendominasi perbualan apabila menyentuh soal agama.
Bagaimanapun, selepas meneliti setiap patah perkataan yang dikeluarkanya, pantas sahaja setiap status atau kenyataan dalam laman Facebook Yati menerjah dalam ingatan. Seolahnya Wan Nor Hayati seperti hanya berfungsi untuk menyokong sahaja setiap apa yang keluar dari mulut lelaki itu.
Secara jelasnya lelaki dikenali sebagai Abdul Hamid Yeop Zainuddin ini mempunyai pengaruh yang memang besar dalam dakwaan dan kenyataan Wan Nor Hayati selama ini.
Abdul Hamid dikatakan bekas pensyarah universiti awam yang sama dan menerima nasib yang sama iaitu dipecat walaupun pada tahun berbeza.
Menerusi individu inilah segala masalah dan persoalan serta dakwaan mengenai agama mula menjelma bertubi-tubi menerjah tanpa henti.
Semua kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Ibu Yati itu lebih lebar penjelasannya oleh Abdul Hamid bahkan rupanya lebih banyak persoalan dan isu agama yang pada awalnya hanya dipermukaan, akhirnya mula mendalam dan mendasar.
Perlu saya akui bahawa, asa dalam diri ini tidak meletakkan saya sebagai agamawan untuk meletakan hukuman atas setiap dakwaan itu. Namun sesiapa sahaja dalam kalangan Muslim jika mendengarnya akan mengetahui, kenyataan tersebut jelas bertentangan dengan asas keimanan.
Perkara disentuh individu ini sebenarnya telah dalam ke daerah aqidah yang mencabar sebab dan punca kenapa kita memilih Islam sebagai pegangan.
Bagi Ibu Yati dan Abdul Hamid, nombor ekor itu bukan judi kerana ia melibatkan matematik.
Bagaimanapun, itu hanya kecil dijika dibandingkan dengan pertikain lain yang keluar dari mulut mereka termasuklah mendakwa kewujudan Melayu ini sebenarnya lebih awal daripada Nabi Adam A.S.
‘’Adam baru 6070 tahun. Melayu ni mana? Melayu lagi lama. Asal usul tamadun manusia ini dekat Gunung Jerai. Dari situ merebak.
Sekarang ini soalan, sebelum ada itu apa agama ini? Jadi itulah agamanya Isusilam” Katanya ketika menerangkan kronologi penciptaan manusia di muka bumi.
Dakwaan Ibu Yati mengenai kajian usia Melayu itu terkandung dalam sebuah buku kontroversi mengenai asal- usul Melayu.
Kedua-duanya mendakwa wujud kitab “ Isusilam” yang disimpan di London ketika ini yang tercatat dan terkandung didalamnya fakta mengenai hal ini.
Berikut antara dakwaan-dakwaan yang sangat mendasar dan bercanggah dengan akidah Islam:
1Mengatakan bahawa syadah yang diucapkan umat Islam selama ini adalah salah
2Allah yang disembah umat Islam itu sebenarnya patung berhala
3Al-Quran yang ada ini tidak asli
4Nabi Ibrahim dan Sulaiman dari Tanah Melayu
5Mempertikaikan kerasulan Nabi Muhamad S.A.W
6Mendakwa Rasulullah S.A.W menyembah batu hitam (Hajarul Aswad)
7Al-fatihah bukan firman Allah
8Tiada bab poligami dalam al-Quran
9Bermulanya tamadun manusia di alam ini adalah dari gunung Jerai
10Mendakwa cara sebenar solat Melayu Islam bukan seperti yang diamalkan sekarang
Itu sebahagian dakwaan yang jelas terakam kamera dan kedengaran di telinga yang menyebabkan satu persatu cerita kehebatan dalam dunia kewartawanan yang dikagumi sedikit demi sedikit mula pudar.
Bagi saya, ia telah meletakan jurang yang besar antara saya dan dia.
Tetapi pendirian dalam Islam saya kira perlu diserahkan urusanya kepada pihak yang memegang amanahnya dan umat Islam sewajarnya perlu sabar dan menghormati perjalanan proses undang-undang.
Namun bagi berlaku adil, Astro AWANI mendapatkan penjelasan Mufti Negeri Perlis Prof.Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjawab dengan jelas setiap dakwaan oleh Ibu Yati dan Abdul Hamid.
”Ibu Yati jika dilihat pada apa yang dia ucap dan ulasan bekas pensyarah itu telah menunjukan kedua-dua mereka begitu kontang dengan ilmu pengetahuan asas aqidah Islam dan al-Quran. ‘’ katanya.
Jelasnya, ia tidak hanya membabitkan tentang perilaku dan dakwaan dangkal mereka berdua tetapi mungkin juga harus diteliti secara terperinci tentang rekod mereka sebelum ini agar tiada mana-mana pihak telah dizalimi akibat kedangkalan ilmu agama mereka.
“ Saya bimbang, bagaimana orang seperti Hayati selama ini menjadi seorang wartawan dan kononya telah berjaya membongkar pelbagai ajaran sesat sedangkan akidahnya sendiri sangat tidak jelas.’’
‘’Bagaimana dia mampu membuat kesimpulan selama ini tentang ajaran orang lain dan mengkategorikan mereka itu sebagai sesat,” soal Asri yang hairan dengan kemampuan sebenar bekas wartawan itu.
Asri turut ragu-ragu kemampuan yang ada pada Abdul Hamid yang banyak mempersoal dan mendakwa dengan pelbagai sifat dalam ketuhanan dan agama Islam dalam keadaan dirinya juga gagal menguasai asas-asas tertentu sebagai individu yang pernah bergelar pensyarah.
Mufti Perlis itu mengambil contoh bagaimana Abdul Hamid gagal memahami al-Fatihah dan mendakwa ia bukan daripada Allah dan terdapat ayat yang tidak menunjukan ia adalah firman Allah.
Sedangkan perkara itu adalah gaya bahasa dan penggunaan kata ganti nama dalam al-Quran.
“Dakwaan ini (yang menyatakan Al-Quran bukan asli dan contoh yang ditunjukan dalam surah al-Fatihah), dukacita kalau dia seorang pensyarah universiti.
Ini adalah teknik penulisan! Kalau pensyarah begitu gagal memahaminya, saya bimbang kita mempunyai krisis yang teruk dalam aspek kualiti ilmu-ilmu pensyarah di universiti-universiti kita. Kalau begitu asaspun dia gagal memahami”. Kata Dr Mohd Asri
Menyimpulkan keseluruhan terhadap perbuatan dua individu itu, Dr Mohd Asri titipkan satu kisah sahabat Rasulullah S.A.W yang mungkin mirip situasi atau keadaan yang membelenggu Wan Noor Hayati dan Abdul Hamid.
“ Kisah mereka berdua ini mengingatkan saya tentang apa yang berlaku kepada Usamah Bin Qatadah yang telah menuduh sahabat nabi iaitu Saad Bin Abi Waqaf r.a sehingga Saad berdoa kepada Allah supaya hidupnya (Usamah) penuh dengan fitn4h kehidupan dan kehin4an .
“Saya bimbang mereka mungkin pernah menuduh orang lain sesat secara salah sehingga akhirnya ditimpa doa orang yang dizalimi sehingga mereka sendiri tersesat,” katanya.
Bagi Dr Mohd Asri kiraannya sudah jelas untuk hukum-hakam agama Allah ini dalam menentukan daerah keimanan mereka berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Wan Noor Hayati dan Abdul Hamid dengan kecenderungan untuk memutuskan bahawa,
“ Kalau mereka mengungkapkan setiap perkataan atau dakwaan mereka yang terakam itu adalah secara sedar dan faham keatasnya, mereka sudah pun terkeluar daripada daerah Iman,” jelasnya menutup perbualan kami dan itulah kesimpulan di atas segala kekhilafan yang telah mencetuskan kegusaran sepanjang minggu lalu.
Wallahua’lam.
Sumber Astroawani.com