HATI siapa yang tidak sedih apabila tidak dapat pulang beraya di kampung bersama ibu bapa?
Begitu jugalah wanita ini yang pertama kali menyambut Aidilfitri kali ini tanpa ibu bapa di sisi.
Namun begitu, kesedihan tersebut sedikit sebanyak terubat apabila si ibu tidak lupa mengirimkan biskut hasil air tangan sendiri untuk dinikmati ketika lebaran.
Memuat naik video biskut raya kiriman ibu di aplikasi TikTok, namun apa yang mencuri perhatian netizen adalah kemunculan tangan kecil yang ‘mensabotaj’ rakaman yang dibuat wanita berkenaan.
“So ini semperit dari mama aku… aku baru nak feeling-feeling tak balik raya. Tiba-tiba, sejak bila dia muncul lalu merebut semperit aku?” tulisnya.
Sehingga kini video tersebut meraih hampir 250,000 tontonan selain dibanjiri komen netizen yang terhibur dengan gelagat anak wanita berkenaan yang masih kecil.
Menurut Nurhafiqah Shamsuri, dia sendiri terkejut apabila bayinya tiba-tiba muncul dari belakang ketika dia sedang ‘asyik’ merakam video.
Empat jenis biskut raya yang dikirim ibu Nurhafiqah dari Kedah.
“Sajalah saya rekod video biskut yang mama kirim, konon-konon syahdu sebab tak dapat pulang beraya di kampung. Tengah syok merakam ambil mood, tiba-tiba anak saya, Farel Al-Fateh merangkak dari belakang dan terus ambil sebiji semperit yang saya pegang.
“Terus tak jadi syahdu… tergelak dengan tindakan spontan dia. Tak beri peluang ibu dia nak feeling. Rebut kemudian terus masukkan dalam mulut pula tu.
“Tapi sebenarnya saya tak galakkan dia makan benda manis lagi memandangkan usianya masih bayi,” katanya kepada mStar.
Menurut Nurhafiqah, ibunya mengirimkan empat jenis kuih raya kegemarannya iaitu biskut semperit, red velvet, cip coklat dan mazola.
Nurhafiqah meraikan Aidilfitri kali ini bersama suami dan anaknya di Ipoh, Perak.
“Semua biskut ini mama yang buat. Semperit adalah biskut raya kegemaran saya. Sedih sangat sebab tahun ni pertama kali raya tanpa keluarga. Hanya meraikan dengan suami dan anak.
“Saya dan suami berasal dari Kedah. Tahun lalu saya berpantang dan dapat beraya dengan ibu bapa tapi kemudian ikut suami yang ditugaskan ke Ipoh, Perak.
“Raya kali ini tak hambar sangat. Bagi saya ia sederhana tapi tetap bermakna sebab suami ada di sisi. Aktiviti raya, buat video call dengan keluarga, kemudian bergambar dan makan. Langsung tak keluar beraya ke mana-mana,” ujarnya.
Terus tak jadi syahdu… tergelak dengan tindakan spontan dia. Tak beri peluang ibu dia nak feeling.
NURHAFIQAH SHAMSURI
Menurut ibu muda berusia 25 tahun ini, perkara pertama yang akan dilakukan sebaik sahaja kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri adalah pulang menziarahi kedua-dua ibu bapanya.
“Dah beberapa bulan tak jumpa mereka, hari-hari berhubung melalui panggilan telefon atau video saja. Risau bila tahu mereka tak sihat.
Potret Aidilfitri keluarga Nurhafiqah di Sungai Petani, Kedah.
“Kalau saya ada dekat kampung, memang saya yang selalu bawa mereka ke hospital untuk temu janji dan sebagainya memandangkan saya paling rapat.
“Tapi sekarang ini tugas itu diambil alih oleh kakak-kakak yang menetap berhampiran rumah mereka. Doa saya untuk mereka tidak pernah putus dan berharap sangat dapat pulang tak lama lagi,” ujarnya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : https://www.mstar.com.my/