BUKAN sekadar tidak sabar pulang ke kampung, malah anak-anak pastinya mahu menghadiahkan sesuatu buat ibu bapa tersayang.
Sudah tentu berasa teruja, lebih-lebih lagi membelinya dengan hasil titik peluh diri sendiri.
Tidak terkecuali anak jati Teriang di Pahang ini, sanggup mengumpul duit demi membelikan ibunya hadiah sempena ketibaan 1 Syawal.
Bercakap kepada mStar, Ahmad Hazrin Mohd Noor berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk memberi hadiah kepada ibunya, Zamzury Zainon berusia 64 tahun.
Memberi hadiah menggunakan hasil titik peluh adalah impiannya.
“Memang sudah lama saya pasang niat tetapi kewangan saya kurang stabil dan gaji pula rendah.
“Sebelum ini saya bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor dengan pendapatan bulanan RM1,500. Apabila ditolak kos sara hidup, sewa rumah dan bayaran balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), baki yang ada sangat-sangat sedikit.
“Disebabkan itu, saya tidak dapat membelikan mak mahupun ayah sebarang hadiah,” ujarnya.
Menurut juruteknik berusia 30 tahun itu lagi, dia kemudian mampu menabung selepas mendapat pekerjaan baharu pada Mei 2021.
Rain berharap dapat membelikan hadiah kepada ayahnya juga.
Sempena Syawal tahun ini, dia menghadiahkan ibunya sepasang telekung yang dibeli ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, pada Jumaat.
“Memang rancang nak beli telekung sebab pernah tanya mak sebelum ini dan dia cakap nak telekung. Masa tu, saya cakap bila ada masa nanti saya beli.
“Lagipun usia mak dah lanjut, jadi saya mahu mak merasa duit hasil titik peluh saya juga,” luahnya yang turut berhasrat membelikan hadiah buat bapanya.
Bercerita lanjut, ujar anak kelima daripada enam beradik itu, telekung tersebut dibeli di vending machine bagi jenama telekung popular di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.
Telekung dibeli semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Pahang.
“Secara kebetulan saya ada kerja di R&R Serembang, dah alang-alang pasang tu saya pun beli telekung yang dijual dalam mesin berkenaan kerana mudah didapati.
“Kalau order online risau pula tak dapat awal sebab nak raya,” luahnya.
Saya terharu dan gembira kerana mak sangat suka dengan telekung yang diberikan.
AHMAD HAZRIN
Berkongsi kegembiraan selepas menyerahkan hadiah kepada ibunya, dia yang lebih mesra dipanggil Rain memberitahu, telekung tersebut terus dipakai pada hari kepulangannya.
“Saya rasa terharu dan gembira kerana mak sangat suka dengan telekung yang diberikan,” katanya lagi.
Telekung dibeli semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Pahang.
Terdahulu, gambar Rain membeli telekung tular selepas ia dimuat naik di laman Twitter pada 30 April lalu.
Ia susulan ciapan ringkas yang dibuat pemilik akaun Twitter Nurul Rashid yang menyatakan pelanggan pertama membeli di vending machine berkenaan.
“Dapat pelanggan pertama! Beli hadiah untuk mak sebab dah lama tidak balik kampung,” tulisnya.
Perkongsian tersebut kemudiannya diulang kicau lebih 7,470 kali dan mendapat tanda suka lebih 23,000.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : mstar