PADA usia 14 tahun, Kalirra Isis Athelage Don berjaya mencapai impian yang dicemburui oleh ramai pendaki.
Bulan lalu, Kalirra berjaya menakluk Kem Pangkalan Annapurna (ABC) di Nepal, salah satu destinasi paling popular di Himalaya.
Anak kelahiran Puchong, Selangor, ini hanya mengambil masa lima hari untuk sampai ke tapak perkhemahan berketinggian 4,130 meter dengan melalui pelbagai landskap hutan, batu, air terjun, kawasan salji dan sebagainya.
“Pengalaman itu membuatkan saya berasa bebas dan kagum dengan pemandangan indah di depan mata sepanjang pendakian.
“Saya berasa tenang dapat berhubung dengan alam semula jadi dan paling penting saya berjaya menempuh pelbagai rintangan untuk sampai ke ABC. Ia pengalaman indah,” katanya.
Ibu bapanya, Thanuja Darshini Jayagoda, 43 dan Athelage Don Lincoln, 48, dan enam sahabat mereka turut menyertai ekspedisi tersebut. Kumpulan itu berjaya tiba di ABC pada 17 Mac lalu.
Kalirra menyifatkan kejayaannya sebagai impian menjadi realiti.
Mahu jejak ke Everest Base Camp (EBC)
Pada pendakian itu, kumpulan tersebut memulakan ekspedisi dari Kande dan pada hari keempat, semua pendaki berjaya tiba di Machapuchare Base Camp yang berketinggian 3,700 meter.
Hari berikutnya, kumpulan itu meneruskan pendakian dan selamat tiba di ABC ketika suhu mencecah -9 darjah celcius namun segala penat pelah hilang sekelip mata apabila melihat gunung-ganang diliputi salji dihadapan mata.
Mereka kemudian mengambil masa tambahan tiga hari untuk turun ke Ghandruk, salah satu daripada laluan keluar dan secara keseluruhan, mereka berjalan dan mendaki sejauh 86 kilometer.
“ABC adalah pendakian pertama saya di luar Malaysia dan bersyukur kerana semuanya berjalan lancar seperti saya harapkan.
“Tahun depan, saya mahu menakluki Everest Base Camp (EBC) yang berketinggian 5,364 meter bersama ibu bapa. Ia lebih tinggi dan saya perlu bersedia dari sekarang,” katanya.
Kalirra sempat menyelami budaya di Nepal.
Suka aktiviti lasak sejak kecil
Sudah meletakkan matlamat, Kalirra memberitahu dia bersama keluarga cukup aktif membuat persiapan dengan melakukan aktiviti pendakian, memperbaiki kecepatan pendakian selain mengamalkan latihan kecergasan.
Pelajar di sebuah sekolah swasta di Petaling Jaya ini turut memberitahu, dia melakukan gerakan yoga yang disifatkan membantu memberi keseimbangan dan kekuatan minda dan tubvh.
Kalirra juga percaya bahawa meskipun dalam suasana pandemik, dia perlu kekal aktif dan lebih suka menghabiskan waktu lapang dengan melakukan aktiviti luar seperti berbasikal, mendaki dan berjoging.
“Saya suka aktiviti luar dan bersyukur kerana ibu bapa selalu menggalakkan saya untuk memanjat pokok, berlari di taman permainan sejak kecil.
“Ia merupakan antara faktor yang mendorong cinta saya terhadap alam semula jadi dan pelbagai aktiviti luar dan lasak,” ujarnya yang pernah ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu pada 2019.
Kongsinya lagi, dia mula diperkenalkan dengan aktiviti mendaki seawal usia lapan tahun dan antara lokasi pendakian kegemarannya adalah Bukit Gasing, Petaling Jaya; Bukit Wawasan Puchong; Bukit Broga di Semenyih dan Gunung Angsi, Kuala Pilah.
Bersama kedua ibu bapanya yang turut menyertai pendakian ke ABC.
Kejayaan datang dengan cabaran
Bapanya yang merupakan pemilik restoran memberitahu cukup bangga dengan pencapaian dan kesungguhan anak perempuannya menakluk ABC selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu.
“Dia berjaya mendaki tanpa sebarang masalah dan berjaya mengawal dirinya sepanjang pendakian. Ia bukan sahaja tentang mendaki tetapi cara membawa diri dan bergaul dengan pendaki-pendaki dari seluruh dunia seperti Indonesia, Belgium dan Amerika Syarikat.
“Kilarra akan bangun pada pukul 4 pagi dan mampu bertahan sepanjang perjalanan dengan hanya makan nasi dan kari sayuran setiap hari. Ia pengalaman menakjubkan buatnya,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Tetapi Lincoln mengakui, pendakian selama lapan hari itu turut datang dengan pelbagai cabaran.
“Kami terpaksa bergerak melalui laluan berbeza, berlawan dengan cuaca dan tanah runtuh… menyesuaikan diri dengan ketinggian juga cabaran cukup besar.
“Syukur, tiada seorang pun daripada kami mengalami masalah ketinggian akut. Paling penting adalah mempunyai minda yang kuat, stamina yang baik dan berpegang kepada matlamat,” jelasnya.
Lincoln memberitahu, dia gemar mendaki bersama isteri dan anak-anak, yang dilihat sesuatu yang boleh menguatkan ikatan kekeluargaan.
Dalam pada itu, dia merancang untuk membuat satu lagi ekspedisi ke Gunung Kinabalu bersama Thanuja, Kalirra dan anak lelakinya, Varhan yang kini berusia sembilan tahun.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : mStar