APAKAH MASIH ADA MASA HADAPAN BUAT PARTI KERAMAT INI?
Sedikit catatan perkongsian.
Saya masih ingat lagi bagaimana saya bergelut dengan diri sendiri ketika mahu membuat keputusan yang besar dalam hidup saya, iaitu menyertai politik dan menyertai parti Bersatu.
Saya menyoal banyak perkara. Adakah saya sesuai menjadi seorang ahli politik? Adakah saya sanggup melondehkan jubah akademia saya dan turun bergulat di bawah menghadapi pelbagai tikam belakang, tawar-menawar, caci-maki dalam kerancuan dunia politik yang lebih menjanjikan kekhilafan berbanding kebenaran?
Apa yang menyebabkan saya didorong untuk menyertai politik dan Bersatu adalah suasana politik tanah air yang dilanda kemelut yang kronik waktu itu.
Tatkala dunia mengenali Malaysia kerana salah guna kuasa dan penyelewengan perbendaharaan negara oleh sesetengah individu, negara bagaikan memanggil-manggil warganya yang sedar untuk bersama merubah keadaan tersebut.
Sebagai warga akademia yang dididik untuk berdiri di atas fakta, idealisme dan kejituan moral, saya merasakan telah sampai waktunya untuk saya mula menterjemahkan segala teori dan idealisme yang sering dimuntahkan ke minda para penuntut lewat kuliah-kuliah ke dalam realiti.
Dilema yang menguliti jiwa menemui penawarnya apabila saya bertemu dengan Tun Dr Mahathir, dan seterusnya saya bertemu pula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-dua tokoh ini mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati saya sehingga kini.
Saya merupakan moderator pertama forum Tun (yang bukan sebagai ahli UMNO lagi) di depan khalayak awam di Pasir Gudang Johor.
Setelah itu, saya sering diundang untuk menjadi moderator forum-forum Tun yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sekitar 2016-2017. Bercakap depan-depan dengan Tun adalah momen yang paling saya tak boleh lupa. Saya masih ingat pesan Tun waktu itu,
“Kita kena selamatkan negara Malaysia dari kleptokrat. Dulu Malaysia dikenali dunia kerana kemajuannya dan kehebatannya, kini dikenali kerana rasuah.
Di samping itu kita sebagai orang Melayu wajib menyelamatkan survival orang Melayu. Apa akan jadi dengan masa depan orang Melayu jika budaya rasuah, salah guna kuasa dan politik wang ini menjadi normal tanpa ada langsung orang yang bersuara menentangnya?”
Jelas di wajah Tun yang di senja usia itu keresahan dan kegelisahan memikirkan nasib politik orang Melayu.
Selain itu, saya tak boleh lupa pesan Tan Sri ketika saya bertemu dengan beliau (lama dulu, sebelum PRU14). Saya juga merasa bersyukur kerana menjadi moderator pertama forum awam beliau di Johor Bahru sejurus beliau dibuang dari UMNO.
Setahun selepas peristiwa tersebut, saya telah mengambil keputusan untuk menyertai Bersatu, dan telah diberikan peluang untuk bertemu dengan Tan Sri. Antara kata-kata Tan Sri yang begitu terkesan di dalam jiwa saya;
“Kita perlukan wajah ahli politik baru untuk membentuk budaya politik yang baharu. Kita perlu wujudkan budaya baharu politik Bersatu.”
Kemudian saya cermati satu persatu tentang penubuhan Bersatu. Bersatu meletakkan batu asas yang sangat kukuh semasa ditubuhkan.
Selain menegakkan Islam, mempertahan kedudukan bumiputera dan bahasa, menjunjung demokrasi, Bersatu berikrar mahu ‘memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.’
Rujuk di laman web Bersatu, Prinsip-prinsip Perjuangan Bersatu: https://www.pribumibersatu.org.my/prinsip.php
Maka berbondong-bondonglah orang menyertai Bersatu. Dari hujung Wang Kelian sampailah luar negara, orang meletakkan harapan yang tinggi kepada Bersatu sebagai ‘fresh start’ budaya politik yang baru.
Semua orang tahu dan sedar bagaimana kerosakan sistem yang telah berlaku sekian lama, skandal-skandal besar dan kes-kes pecah amanah yang luar biasa, segalanya perlahan-lahan terdedah.
Tidak usah pergi jauh, di dalam pendidikan sendiri lihatlah kes projek solar sekolah luar bandar Sarawak yang sudah mula dibicarakan. Perhatikanlah bagaimana pertelingkahan sesama sendiri berlaku oleh watak-watak yang mahu menyelamatkan diri dari didakwa.
Sayang sekali perbicaraan kes itu tidak dapat diselesaikan sebelum PH jatuh. Hari ini, watak yang terlibat secara langsung dengan projek tenaga solar tersebut mendapat jawatan sebagai pengerusi GLC (yang juga berkaitan dengan ‘tenaga’).
Sekiranya ada agamawan pernah berkata, lantiklah menteri-menteri kabinet yang bersih agar menjadi hujah yang kuat kepada kerajaan yang tertubuh,
sekarang bagaimana pula dengan perlantikan watak-watak begini dalam GLC-GLC? Adakah ada hujah agama lain yang perlu disandang pula untuk menjustifikasikan tindakan ini? Jika ada, saya teringin membacanya.
Benar. Bersatu adalah parti yang sangat muda. Tetapi penubuhan Bersatu sangat jelas tujuan dan asasnya. Tentu kita bukanlah parti yang sempurna, parti yang juga punyai kelemahan, tetapi sedikitpun kita tidak pernah tergelincir dari tujuan asal penubuhan parti keramat ini.
Dukung demokrasi, pertahan agama, perkukuh bangsa, dan yang paling penting, ikrar kita untuk terus lawan rasuah, lawan salah guna kuasa dan bina budaya tadbir urus yang baharu, yang berintegriti.
Sekarang, apa yang perlu kita jawab kepada diri kita sendiri apabila budaya ini kembali bermaharajalela di dalam negara kita, di depan mata kita?
Tidakkah terdetik rasa gelisah melihat watak-watak yang kita perangi tindakan mereka dahulu kini kembali mendominasi tanpa sedikitpun rasa malu dan bersalah?
Mereka inilah yang merupakan reason de etre (sebab kewujudan) Bersatu. Bersatu diwujudkan untuk menggantikan mereka, untuk memberikan alternatif kepada politik lama, politik korupsi kepada politik baru yang pernah diilhamkan nama sebagai budaya Bersatu.
Di atas niat murni ini jugalah saya menyertai Bersatu dan menceburkan diri ke dalam politik.
Saya perlu ucapkan terima kasih kepada ahli MPT Bersatu, Dato Dr Rais Husin yang telah Berjaya menyempurnakan penyertaan saya ke dalam parti yang saya cintai ini. Mac 2018 merupakan tarikh keramat dalam hidup saya apabila saya menyertai Bersatu secara rasmi.
Sejujurnya, saya masih kabur melihat arah tuju perjalanan parti ini dikala ini. Ketika kita (Bersatu) menjadi komponen penting dalam PH dahulu. Identiti kita jelas, orang Melayu berlindung di rumah Bersatu dalam PH sementara kaum lain boleh berlindung di rumah lain dan kita cuba hidup seadil yang mungkin (walaupun kadangkala kita tergigit lidah).
Pergeseran dalaman adalah lumrah politik, persoalannya ialah bagaimanakah kita menguruskan konflik dan perbezaan.
Apabila Bersatu dibawa keluar dan menyertai PN lewat hujung Februari yang lalu, saya mula bertanya, masih relevan lagikah identiti yang Bersatu bawa, iaitu untuk menjadi parti alternatif orang Melayu dan menggantikan UMNO? Masih terpakaikah lagi idealisme yang diperjuangkan selama ini?
Jika Bersatu akhirnya hanya mengikut arus yang sama, mula bercampur dengan mereka yang membawa budaya politik yang dulu kita berikrar untuk perangi, apologetik dan merasa tak bersalah pula bersama dengan mereka yang pernah kita kalahkan kerana kerakusan wang dan kuasa yang jelas berlaku di depan mata, di manakah lagi rasionalnya keperluan parti kita untuk orang Melayu?
Akhirnya, orang Melayu, anak muda, generasi masa depan yang mempunyai harapan untuk melihat budaya politik baharu, seakan kelam dan hilang.
Impian pengundi-pengundi yang pulang mengundi 9 Mei 2018 dengan tekad untuk membentuk Malaysia Baharu, gugur dan retak.
Apakah masih masa hadapan untuk parti keramat kita ini?
Hal ini semakin merunsingkan saya terutamanya apabila UMNO dan BN hanya menerima kerajaan PN sehingga menjelang PRU15 sahaja.
Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan bahawa mereka melalui Muafakat Nasional akan menggempur semua kerusi-kerusi yang dipertandingkan oleh Bersatu dan sekutu Bersatu di dalam PRU 15 nanti. Perikatan Nasional hanyalah hubungan sementara bagi UMNO.
UMNO yang sepatutnya digantikan kewujudan mereka dengan Bersatu di dalam hati orang-orang Melayu tanah air ini.
Di kala itu, sekiranya kita tidak melakukan apa-apa, soalan saya, di manakah kedudukan Bersatu?
Ke PH tidak, ke Muafakat Nasional pun tidak. Kita menjadi pihak ketiga yang paling marginal berhadapan dengan dua blok PH dan Muafakat Nasional pada PRU15 nanti.
Apakah nasib Bersatu pada waktu itu nanti?
Apakah masih ada masa hadapan buat parti keramat ini?
YB Dr Maszlee Malik
Ahli MPT Bersatu
13 Mei 2020