“DUA individu berbeza? Tak percaya orang yang sama.”
Demikian tanda tanya dalam kalangan netizen terhadap seorang pemuda yang berkongsi video transformasi dirinya selepas berjaya mengurangkan berat badan.
Apa yang lebih mengejutkan, video berdurasi 19 saat itu memaparkan tiga ahli keluarganya yang turut mengikut jejak langkah sama.
Berkongsi pengalaman, pemuda berkenaan, Muhammad Damiral Dazriel Elyshavana berkata, berat badannya menurun sebanyak 39 kilogram (kg) dalam setahun dari 109kg kepada 70kg.
View this post on Instagram
Remaja berusia 15 tahun itu bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa bapanya, Elyshavana Jaafar, 52, merupakan ahli keluarga yang pertama berusaha untuk mengurangkan berat badan.
“Ramai nak kuruskan badan, tapi malangnya ada keluarga yang tak beri sokongan. Bagi keluarga saya, masing-masing sebelum ini berbadan besar dan mahu kuruskan badan.
“Saya sendiri sejak kecil sudah berbadan besar. Bila abah (panggilan ayah) mula bersenam dan jaga pemakanan sampai berat dia turun 23kg dari 98kg kepada 75kg, kami semua terkejut dan mula mendapat inspirasi untuk melakukan perkara sama,” katanya kepada mStar.
Transformasi bapa Dazriel.
Lebih mesra disapa Dazriel, dua lagi ahli keluarganya yang turut berjaya mengurangkan berat badan adalah ibunya, Zuraida Mansor, 47, iaitu dari 92kg kepada 67kg dan abangnya, Muhammad Damiral Imran, 22, dari 95kg kepada 67kg.
Mengenai misi tersebut, anak muda yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, setiap ahli keluarganya mempunyai cara yang berbeza untuk mengurangkan berat badan.
“Mak saya suka bersenam dengan berlari di atas treadmill di rumah. Abang pula lebih gemar melakukan aktiviti mengangkat berat, juga di rumah.
“Hanya saya dan abah berkongsi minat yang sama dengan melakukan aktiviti luar seperti joging dan hiking,” katanya sambil menambah kebiasaannya berjoging lima kali seminggu.
Perubahan abang Dazriel sebelum dan selepas mengurangkan berat badan.
Bukan sekadar senaman semata-mata, kata Dazriel, penjagaan pemakanan adalah penting dalam memastikan program diet adalah konsisten.
“Mujur ada bibik (pembantu rumah) yang membantu mengawal pemakanan kami di rumah. Kami maklumkan pada bibik hanya sediakan makanan yang kurang minyak, lemak dan gula.
“Makanan ringan dan gula-gula memang tak ada di rumah. Kami sedaya-upaya untuk mengalamalkan gaya hidup sihat dari dalam rumah lagi,” tambahnya.
Dazriel (kiri) melakukan aktiviti luar bersama bapa (kanan) dan abang.
Mengenai video transformasi yang dikongsi di aplikasi TikTok sehingga meraih 3.3 juta tontonan, anak kedua daripada tiga beradik itu menyedari beberapa komen mempertikaikan sama ada dirinya merupakan individu sama sebelum dan selepas mengurangkan berat badan.
“Itulah saya buat pertama kali berjaya menguruskan badan. Saya sendiri pun tak sangka sebab dari dulu saya hanya berbadan besar, berat badan susah nak turun.
“Selain abah, saya juga mendapat motivasi daripada TikTok. Selalu tengok orang kat TikTok ada badan fit dan elok, saya tertanya-tanya bila boleh jadi macam mereka,” tambahnya.
Dazriel (belakang, kanan) bersama keluarga.
Sehubungan itu kata Dazriel, aplikasi popular itu bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, malah boleh menjadi penggerak kepada sesuatu yang positif.
“Kepada mereka yang nak kurangkan berat badan atau kuruskan badan, jangan putus asa. Tak semestinya berteman, boleh je buat seorang asalkan ada motivasi dan kemahuan untuk melakukannya,” katanya.
Komen netizen:
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber: mstar