STATUS penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkaitan mengumpul pahala selepas dikecam netizen mendapat perhatian pendakwah bebas, Prof. Dr Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
Menerusi laman sosial Facebook, pendakwah tersebut mempersoalkan adakah kenyataan yang dibuat penyanyi itu dirujuk daripada mana-mana ustaz atau ahli agama.
Selain itu, Ridhuan meminta artis tersebut tidak menggunakan nama ustaz dalam menutup kesilapan yang dilakukan.
“Betul ker dapat kumpul pahala berganda-ganda 10 malam terakhir kerana masalah yang dicipta sendiri?
“Teruja berita pandangan seorang artis mengenai majlis yang dicipta sendiri, apabila menjadi viral dan menimbulkan masalah, sedap dia berkata, pahala dapat berganda-ganda disebabkan dugaan majlis tersebut.
Kenyataan Ridhuan Tee di laman sosial.
“Ustaz mana yang artis ini rujuk pahala berganda-ganda ini? Nak juga saya tahu nama ustaz itu untuk saya bertanya lanjut.
“Sendiri yang buat hal, sendiri pula mengaku dapat mengaut pahala berganda-ganda, menggunakan nama ustaz,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ridhuan turut mempersoalkan kehadiran beberapa ahli agama di majlis tahnik tersebut yang disifatkan tidak perlu jika memudaratkan terutamanya ketika negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.
Dia juga mengingatkan supaya menghentikan budaya mencari publisiti di laman sosial yang hanya akan menimbulkan masalah dalam masyarakat.
“Konteks dan teks berbeza. Dugaan yang dicipta sendiri, berbeza dengan dugaan sebenar. Hanya Tuhan yang tahu. Orang beranak juga, tetapi tidak seriuh ini.
“Saya bersependapat dengan Mufti Perlis, yang dalam kiasnya, soal keutamaan, antara menziarahi ibu bapa atau memenuhi undangan artis. Dalam Islam, kena fahami fiqh awlawiyyat atau fiqh memahami keutamaan, sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.
“Sama juga isu nak menghadiri majlis undangan ketika PKP, antara memenuhi jemputan atau tidak. Jika banyak yang memudaratkan maka, boleh sahaja tidak hadir.
“Bayangkan dengan kehadiran sedemikian boleh memberikan mudarat kepada orang lain. Siapa yang akan dipersalahkan nanti? Sudah takdirkan?
“Ingatan saya, hentikan budaya mencari publisiti ini. Tidak semua perkara perlu diberitahu kepada khalayak. Bila timbul masalah, jawapan simplistik, dugaan, pahala berganda-ganda dapat. Siapa yang kata? Siapa yang dirujuk?” katanya.
Majlis tahnik anak Siti Nurhaliza dihadiri beberapa ustaz terkenal.
Sebelum ini, Siti menjadi perhatian umum selepas majlis tahnik anak keduanya Muhammad Afwa yang dianjurkan baru-baru ini dipertikai netizen di kala negara masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang apabila terdapat beberapa tetamu undangan dibenar merentas negeri untuk menghadiri majlis tersebut.
Antara yang kelihatan pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkii Mohamad Al-Bakri dan tiga penceramah bebas terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus, Don Daniyal dan Iqbal Zain.
Berikutan itu, Siti mengambil pendekatan menutup ruangan komen di Instagramnya bagi mengelakkan kata-kata negatif dan perbalahan dalam kalangan pengikutnya.
Dalam perkembangan lain, polis telah merakam keterangan 10 individu termasuk penganjur majlis tahnik itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Khamis berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), PKPB.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu yang telah dikenal pasti hadir di majlis tersebut.
“Beberapa individu telah dikenal pasti hadir di majlis tersebut (termasuk VVIP dan penceramah agama) untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber :https://www.mstar.com.my/