JAUH beribu batu di negara orang, rasa rindu terhadap tanah air pastinya membuak-buak ketika Hari Raya Aidilfitri.
Begitulah kisahnya pasangan suami-isteri dari Malaysia, Ezwan Azizul, 33, dan Asma Ul Husna Nordin, 30, yang meraikan lebaran di Utah, Amerika Syarikat.
Menurut jejaka yang mesra disapa Ezwan itu, dia sudah tiga kali beraya di Utah tetapi bagi isterinya, tahun ini merupakan pengalaman pertama.
“Tahun 2018 saya datang ke sini. Waktu tu bersendirian kerana isteri belum ada visa. Jadi sudah tiga tahun saya beraya di sini.
“Isteri pula baru datang ke sini tiga bulan lepas. Ini merupakan sambutan raya pertamanya di Utah.
“Kalau tahun pertama dan kedua dulu, sudah tentu saya rindu rendang dan makanan-makanan lain. Kali ini berbeza sebab isteri dah ada sekali,” ujarnya ketika dihubungi mStar.
Menurut Ezwan yang bekerja dalam bidang hospitaliti, dia dan isteri cukup merindui tanah air terutamanya suasana di pagi 1 Syawal bersama keluarga.
Ezwan dan isteri rindu suasana raya di Malaysia.
“Rindu nak berkumpul dengan keluarga dan bersalaman pada pagi raya. Tapi di sini, ia seperti hari biasa sahaja.
“Kami baru lepas berbuka puasa Ramadan yang terakhir ketika orang Malaysia dah menyambut 1 Syawal. Lepas berbuka sempatlah kami buat video call.
“Call semua keluarga belah saya dan isteri, dalam dua jam kami ambil masa bermaafan secara maya dan selfie ketika video call.
“Ada drama air mata juga, isteri menangis tengok abang dan kakak tengah makan rendang air tangan mak,” ujarnya berseloroh.
Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin dari kami berdua di sini.
EZWAN
Bercerita mengenai Utah, Ezwan yang sudah empat tahun bergelar suami mendedahkan tidak ramai orang Malaysia berada di tempatnya.
“Satu perkara mengenai Utah, tak ramai orang Malaysia di sini. Setahu saya, ada dalam lima dewasa dan seorang kanak-kanak termasuk saya dan isteri.
“Kita orang Melayu, uniknya muka lebih kepada pan Asia. Jadi penduduk di sini selalu nampak kita macam orang Amerika Selatan.
“Mereka fikir kami orang Mexico atau Filipina. Kerap orang datang tegur cakap dalam bahasa Sepanyol dengan kami.
“Mereka tak biasa dengan orang Asia. Pada pemahaman mereka, orang Asia berwajah seperti orang China atau Korea.
“Tapi nak cari bahan makanan Asia tak susah. Ada orang dari China, Timur Tengah dan Vietnam buka kedai di sini,” ujarnya yang bekerja di sebuah resort ski di negeri itu.
Ezwan dan isterinya sudah empat tahun mendirikan rumah tangga.
Dalam temubual sama, Ezwan yang menggunakan nama Instagram ‘Malay Dude in USA’ turut menzahirkan rasa rindu buat suadara-mara di tanah air.
Menurut pasangan yang sudah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 itu, mereka tak sabar untuk pulang ke Malaysia apabila pandemik beransur reda.
“Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin dari kami berdua di sini. InsyaAllah ada rezeki kita jumpa di Malaysia.
“Ataupun kalau ada rezeki, keluarga di Malaysia boleh datang ke Utah. Banyak tempat boleh jalan-jalan di sini,” ujarnya mengakhiri bicara.
Kisah itu mendapat perhatian selepas Ezwan berkongsi mengenai dia dan isteri menerusi direct message (DM) Instagram mStar sebelum temubual dijalankan pada Jumaat pagi.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : https://www.mstar.com.my/