PENERBIT dan pengarah, Michael Ang menerusi Instagramnya membalas pendedahan yang dibuat pelakon, Fikry Ibrahim di dalam program Melodi TV3, tengah hari tadi.
Michael dalam video yang dimuat naik itu meminta Fikry supaya tidak berselindung dan berterus terang jika benar ada masalah atau mempunyai konflik dengannya.
“Tak payah nak Mukmin Mukmin (nama samaran yang disebut Fikry dalam Melodi). Cakap saja nama saya dan memang saya pun.
“Yang awak terasa bila saya sebut mengenai Virus FI itu, kenapa? Awak ke? Tak ada satu pun orang yang teka atau sebut nama awak,” katanya.
Menjelaskan mengenai pendedahan Fikry yang mengatakan bahawa reputasinya terjejas, Michael berkata, dia tidak pernah mendakwa bahawa Fikry menipunya dengan menerima tawaran lain.
“Bila cakap saya burukkan awak, saya burukkan apa? Saya beritahu orang stesen TV yang awalnya 10 hari (penggambaran lain) dan kemudian awak ada Keluarga Baha Don dan sebab itu tak mahu buat (drama Michael).
“Mereka (stesen) tanya, pastikah itu sebabnya? Jadi saya cakap, mungkin sebab hero dia adalah Yusuf Bahrin, jadi mungkin awak tak mahu sebab dia dari bekas syarikat pengurusan awak. Saya cakap itu saja. Saya cakap mungkin, bukan ya atau tidak,” katanya.
Tambahnya, dia juga ada menerima panggilan daripada Fikry, namun terpaksa ditolak kerana masih dalam mesyuarat ketika itu.
“Ada saya cakap awak tipu, ambil tawaran lain dan tolak tawaran saya di saat akhir? Saya tak cakap begitu.
“Ya, semasa awak hubungi saya kali pertama, saya hantar mesej kata akan hubungi semula sebab ketika itu saya sibuk dalam mesyuarat.
“Tapi, saya tak hubungi semula sebab tak penting. Dah tak boleh buat, tak boleh buatlah,” katanya.
Bercakap mengenai persetujuan bayaran, Michael berkata, sudah menjadi kebiasaan buatnya untuk tidak berbincang mengenai bayaran di peringkat awal.
“Mungkin salah saya, tak persetujui harga, tapi itu memang kebiasaan. Tanyalah artis-artis yang pernah bekerja dengan saya dan awak pun pernah kan, jadi tanyalah pengurus awak yang duhulu.
“Kadang-kadang, bila dah masuk set baru kita persetujui harga. Saya memang begitu, tapi tak pernah ada masalah pembayaran. Saya rasa, tak pernah pun ada artis cakap saya bayar mereka kurang,” katanya.
Michael ketika dihubungi juga berkata, dia tidak pernah menggunakan kontrak kerana bekerja atas dasar kepercayaan.
“Tanyalah mana-mana pelakon yang pernah bekerja dengan saya. Saya tak pernah tandatangan kontrak atau apa. Kalau setuju, ‘jalan’,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, pihaknya juga tidak mewujudkan sebarang kumpulan WhatsApp seperti yang disebut oleh Fikry.
“Tak ada kumpulan WhatsApp diwujudkan,” katanya.
Dalam video berdurasi lebih empat minit itu juga, Michael mengingatkan Fikry supaya sentiasa ingat bahawa kedudukan seseorang itu tidak akan sentiasa berada di atas.
“Satu saja saya nak cakap, kita bukan selalu di atas. Ada masanya, kita di bawah. Kalau saya tak besarkan perkara ini dan awak yang nak besarkannya, terimalah,” katanya.
Fikry menerusi Melodi yang disiarkan tengah hari tadi mendedahkan, dia akan mengambil tindakan dan bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Saya akan ambil tindakan. Saya ada terfikir mengenai kesan dan akibat daripada pendedahan dibuat ini. Tapi, kalau tak ada orang yang berani membuka mulut, tak tahu sampai bila perkara ini akan berlarutan.
“Mungkin saya dah tak dapat bekerja dengan dia semula, tapi orang lain akan ambil saya,” katanya.
Sumber : hmetro