London: Menyayat hati apabila seorang wanita meninggal dunia akibat Covid-19, selepas beberapa hari melahirkan bayinya.
Lebih menyedihkan, Fozia Hanif, 29, tidak sempat melihat dan memegang bayinya itu. Daily Mirror melaporkan, Fozia sering pergi ke hospital untuk pemeriksaan secara berkala.
Dalam satu sesi, dia mengalami demam ringan sebelum disahkan positif Covid-19. Suami Fozia, Wajid Ali, berkata, isterinya dimasukkan ke wad selama dua hari sebaik disahkan positif Covid-19.
“Pada keesokan hari, doktor mengatakan isteri hanya mengalami gejala ringan dan boleh pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, selepas empat hari pulang, isteri mengalami kesukaran bernafas dan kami memanggil ambulans,” katanya.
Kakaknya, Sophia Hanif berkata, ketika ambulans tiba dan pegawai perubatan melakukan pemeriksaan, keadaan adiknya bertambah baik.
“Tekanan darah, kadar gula, semua baik, tetapi mereka tetap membawanya ke hospital. Saya rasa pada hari kedua di hospital, Fozia melahirkan anaknya,” katanya.
Bayi Fozia dinamakan Ayaan Hanif Ali dilahirkan pada 2 April lalu melalui kaedah pembedahan.
Selepas beberapa hari, keadaan kesihatan Fozia kembali merosot sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi. Dia juga terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan untuk bernafas.
Bagaimanapun keadaan Fozia semakin kritikal dan mesin itu terpaksa dimatikan pada 8 April.
Dalam pada itu, bayi berkenaan tidak dijangkiti Covid-19, tetapi masih berada di hospital, pada masa ini.
Sumber hmetro