DUA kali digandingkan dalam drama, pelakon Fikry Ibrahim mengakui cukup selesa dengan pendatang baharu, Rita Nadira.
Justeru, tidak sukar untuknya mencipta keserasian untuk hidupkan lakonan mesra.
Bagi Fikry, dia melihat Rita memiliki potensi besar berbekalkan corak pembawaan dirinya. Selain itu, dia seronok apabila mereka juga ‘sekepala’ dan boleh rapat sebagai rakan artis.
Namun, dia menegaskan hubungannya dengan Rita cuma sekadar kawan bagi menjelaskan dakwaan yang mengatakan mereka intim. Dia turut bersyukur gandingan mereka sangat dipercayai penerbit drama.
“Hubungan saya dengan Rita tidak lebih rakan seperjuangan dalam industri kreatif. Mungkin sebab kami ‘satu kapal’, sebab itulah penerbit mahu satukan kami. Maklumlah, muka dan kulit pun sama.
“Semua ini berdasarkan keserasian pantas antara kami setiap kali di lokasi penggambaran. Tidak lebih dari itu dan dia adalah seorang kawan yang memudahkan,” katanya.
Fikry mengakui dalam hatinya belum serius ke arah memikirkan soal jodoh. Dia percaya dirinya ada perjalanan sendiri dan demikian juga Rita.
“Biasalah, setiap kali orang tengok kami ‘ngam’ berlakon, pasti ada saja yang mahu satukan. Memang saya akui, kami memang rapat pun di lokasi penggambaran.
“Secara tak langsung, keserasian sebegitu bagus dan mungkin mempercepatkan jodoh juga. Namun, jujurnya, saya belum ke arah memikirkan soal perkahwinan,” katanya.
Terbaru tampil membintangi drama Kerana Dia Suka arahan Kyroll Hamzah, Fikry juga gembira mencipta keserasian bukan isu besar buat mereka. Bahkan, mereka sama-sama boleh bergurau senda tapi tetap serius apabila bekerja.
“Sebelum ini, kami pernah bergandingan dalam drama Ayahanda. Jadi, ini adalah drama kedua kami bersama. Rita banyak memudahkan kerja saya kerana memahami karakter dilakonkan.
“Sememangnya, kami banyak gelak, tetapi Rita tahu apa yang nak buat. Bagi saya, dia adalah seorang pelakon baharu yang bijak. Saya percaya kerjaya lakonannya boleh maju ke hadapan, Insya-Allah,” katanya.
Drama bersiri inspirasi novel karya Marissa itu ditayangkan di slot Lestary di TV3, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam bermula 9 Mac lalu.
Ditayangkan sebanyak 20 episod, ia diterbitkan Zeel Production Sdn Bhd, manakala skripnya pula ditulis Mufid Suhaimi dan Next Team Scene.
Selain Fikry dan Rita, ia turut dibintangi Rozita Che Wan, Nasha Aziz, Aidit Noh dan Risyka Akira.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Cepat Berita
Sumber : https://www.malaysiatime.me/